Assalamualaikum..
Apa khabar semua hari ini? Saya seperti biasa, ada ketika tu sibuklah juga mengurus rumah tangga.
Hari ini dah pun 12 Ramadan, cepat betul kan masa berlalu? Kalau dipanjangkan usia, Kita masih ada lagi, lebih dari setengah bulan baki Ramadan sebelum Shawal datang menyusul. Bila dah dekat raya nanti, mulalah kita sibuk membuat persiapan bagi meraikan hari kemenangan kita sebagai hamba Allah yang telah berjaya melaksanakan kewajipan berpuasa. InshaaAllah.
Seperti biasa, persiapan raya saya cuma ala kadar sahaja. Kuih raya selalunya anak-anak yang belikan, sedap-sedap pula tu! Lagipun diusia kini, saya dah kurang suka mengadap oven, hehe..
Anyway, semalam saya hidangkan kerabu sawi minyak bijan tapi saya namakan resipi ini kerabu sawi sesame, supaya resipi ini bunyi canggihlah sikit :)
Alhamdulillah keluarga saya suka hidangan ini. Rasanya yang masam-masam sedikit dan makan pula dengan masak lemak ikan masin kurau, begitu menyelerakan..
Jom cuba
Bahan-bahan:
1) 350g sayur sawi dihiris
2) 1 biji buah tomato dibelah dua dan dihiris nipis
3) 1/2 labu bawang besar dihiris nipis
4) 1 tsp serbuk kasar cili kering
5) 1 tsp serbuk pati ikan bilis knorr
6) 1/2 tsp serbuk lada putih
7) 1 1/2 tbsp minyak bijan
8) Jus lemon segar
9) Garam secukup rasa
Cara:
1) Batang sawi dicelur terlebih dahulu dan kemudian segera siram dengan air
2) Celur daun sawi, angkat dan siram air
3) Perah batang dan daun sawi
4) Gaul semua bahan 2~9 sehingga sebati
5) Masukkan sawi dan gaul sehingga rata
6) Biarkan 30 minit barulah dihidang
